Percepat reformasi institusi, elak kezaliman dan salah guna kuasa

Usaha reformasi termasuk pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. - Gambar hiasan
Usaha reformasi termasuk pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Koalisi Rasuah Buster menggesa kerajaan supaya mempercepatkan reformasi institusi bagi mengelakkan kezaliman dan penyalahgunaan kuasa serta kedudukan oleh mana-mana pihak.

Jelasnya dalam satu kenyataan bersama, usaha reformasi tersebut adalah termasuk pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Selain itu, ia turut merangkumi penggubalan Akta Pembiayaan Politik, pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009, pindaan komprehensif kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan implementasi penuh Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

“#RasuahBusters selaku Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah sebelum ini bersama kumpulan masyarakat sivil dan profesional menyambut baik usaha kerajaan menunjukkan komitmen pendedahan serta pendakwaan berkaitan perlakuan rasuah tanpa takut dan pilih kasih,” katanya pada Jumaat.

Koalisi tersebut menambah, dalam menyokong penuh iltizam kerajaan memerangi rasuah dan salah guna kuasa, semua pihak harus memastikan integriti dan kebebasan badan kehakiman terjamin, tidak diganggu atau diserang.

“Untuk memastikan kelangsungan semak imbang dan input kajian diperincikan dalam melaksanakan reformasi institusi secara dua hala antara kumpulan masyarakat sivil, pakar serta profesional bersama ahli Parlimen Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) wajar diluluskan Parlimen.

“Memerangi rasuah bukan tugas eksklusif kerajaan, maka kesediaan semua pihak untuk terlibat harus diambil kira dalam memastikan reformasi institusi yang dijanjikan dapat direalisasikan segera dan efisien,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!