Banjir mengejut, penduduk bina khemah di kawasan tinggi

Keadaan di pekan Parit Sulong yang masih digenangi banjir termenung ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama
Keadaan di pekan Parit Sulong yang masih digenangi banjir termenung ketika tinjauan pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Sekumpulan penduduk di Kampung Seri Tanjung di sini berpakat mendirikan khemah di kawasan tinggi selepas kediaman mereka ditenggelami banjir secara mengejut sejak Sabtu lepas.

Seorang penduduk, Juriana Kamari, 46, berkata, dia bersama jiran membuat tindakan itu susulan pusat pemindahan sementara (PPS) yang berhampiran sudah dipenuhi mangsa banjir.

"Pada awalnya saya dan lima ahli keluarga mahu berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Gading, namun hampa selepas lokasi itu telah penuh. Selepas itu kami berpakat membangunkan khemah di hujung laluan yang tidak dinaiki air kerana sudah tiada tempat untuk berlindung.

"Sudah hampir seminggu kami tinggal di khemah ini, dan kami menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan serta pemilik kedai serbaneka. Setakat ini semuanya mencukupi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 10 khemah yang menempatkan 137 mangsa daripada 40 keluarga didirikan di kawasan dianggarkan 500 meter dari kediamannya itu.

Seorang lagi penduduk, Dan Mamajooni, 49, berkata, meskipun sudah berdaftar di PPS berhampiran, dia dan keluarganya akan kekal di khemah itu bagi menjaga keselamatan rumah dan memudahkan aktiviti harian kerana laluan jalan raya ke Sri Gading masih dinaiki air.

"Kita bimbang dengan keselamatan rumah kerana ada warga asing yang keluar dan masuk di kawasan ini. Syukur pihak polis sentiasa meronda, jadi kami berasa selamat,” katanya sambil menambah bekalan air dan elektrik di rumahnya masih berfungsi seperti biasa.

Sementara itu, Pegawai Daerah Batu Pahat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Nasri Mohd Ali mengakui ada sebilangan kecil mangsa enggan berpindah ke PPS kerana bimbang dengan keselamatan rumah mereka.

Bagaimanapun, beliau menasihati mangsa banjir untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam berhubung lokasi penempatan mereka.

"Bantuan disalurkan di PPS yang telah diwartakan namun atas dasar keprihatinan, kita akan menghantar bantuan bekalan makanan dan keutamaan kita adalah keselamatan kesemua mangsa banjir ini," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!