'Amir Jahari, saya minta maaf, saya akan letak lagu nasyid'
KUALA LUMPUR - Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memohon maaf kepada Amir Jahari, penyanyi lagu tema filem Imaginur, Hasrat kerana menggunakan lagu ciptaannya itu sebagai lagu latar untuk hantaran video semasa berada di Mahkamah Kuala Lumpur susulan pendakwaan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.
Jelasnya, beliau sedia menurunkan semula hantaran menggunakan lagu berkenaan dan menggantikannya dengan lagu lain seperti lagu nasyid atau lagu penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Amir Jahari Music saya mohon maaf. Saya akan turunkan post saya dan letak lagu nasyid atau Siti Nurhaliza, artis yang tidak kisah kalau nak pakai lagu dia untuk sosial, kebajikan dan politik,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Srikandi Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras di sini pada Jumaat.
Beliau juga mengingatkan Amir agar lebih berhati-hati selepas ini dengan meletakkan tanda amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menggunakan lagunya untuk tujuan politik.
“Satu sahaja pesan saya untuk anak muda seperti Amir Jahari... teruskan berkarya, tetapi kalau kamu tak suka karya kamu itu tidak suka jika digunakan oleh orang politik, letak siap-siap sebelum kamu letak di YouTube dan sebagainya.
"Letak “Jangan guna lagu aku kalau kamu nak guna untuk tujuan politik”. Jangan bila saya dah post, baru nak letak begitu,” ujarnya.
Mas Ermieyati juga faham tindakan artis itu mungkin disebabkan beliau adalah Ahli Parlimen pembangkang.
“Saya percaya pada industri kreatif di Malaysia, betapa potensi besar di Malaysia untuk kita dapat pendapatan baik melalui usaha anak tempatan yang kreatif sebagaimana Amir Jahari Music.
“Baru berusia 30 tahun, namun anak muda ini mungkin takut, saya tak tahu. Sebab saya ini ahli parlimen pembangkang orang malu, kau faham tak semua ni? Orang takut dengan kita sebab kita pembangkang. Kamu berjuang untuk rakyat tetapi mereka malu dengan kita. Dosakah saya menghargai muzik?,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, hantaran dengan lagu latar itu sebenarnya dimuatnaik oleh seorang anak muda berusia 19 tahun.
Malah, tindakan itu dilihat untuk menghargai muzik yang secara tidak langsung dapat mengajak orang lain untuk mendengar lagu itu.
“Yang buat semua muat naik semua ini bukan saya, tetapi anak muda usia 19 tahun, lelaki kerana dia menghargai muzik, segar. Malah, Imaginur adalah filem yang sangat baik. Lakonan mantap dan idea baik.
“Sebab itu apabila dia menyatakan minta turunkan lagu kerana tidak mahu ada politik dan dia nak saman saya sebab copyright, saya jadi macam garu kepala. Saya tanya mana kamu dapat lagu ini? Dia cakap dari YouTube. Habis tu, kalau dapat dari YouTube tak kan tak nak bagi orang dengar, lagi orang dengar lagi bagus,” ujarnya.
Pada Jumaat, wakil pengurusan komposer dan penyanyi Amir Jahari meminta Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menarik balik lagu Hasrat yang dimuatkan dalam video menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas Pengurus Amir, Joe Lee dalam ciapan Twitternya menggesa Mas Ermieyati segera memadamkan lagu tersebut yang digunakan tanpa izin. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!