Memanusiakan pekerja di tempat kerja
SHAH ALAM - ‘Humanising workplace’ atau memanusiakan tempat kerja berpandukan Surah Al-Insan dapat mengembalikan nilai rahmah dalam diri majikan, ketua dan pemimpin termasuk kakitangan sekali gus mencetuskan persekitaran yang lebih positif.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, perkara itu wajar dilaksanakan di semua sektor pekerjaan.
Justeru ujarnya, seseorang pemimpin dan ketua perlu bersikap rasional dan berintegriti dalam menguruskan pentadbiran supaya dihormati dan disukai pekerja.
“Perkara ini (memanusiakan tempat kerja) harus dilaksanakan. Ini kerana yang bekerja adalah orang maka kita kena memanusiakan pekerja, jika tempat kerja terlampau robotik ia akan hilang (ciri kemanusiaan).
“Jadi, kita juga perlu faham dan amalkan isi Quran kerana ramai orang kita hanya untuk baca dan khatam tetapi tidak memahami al-Quran,” katanya pada program Soul Fitness CEO Talk: Humanising Workplace Surah Al-Insan di Studio My#Qurantime, Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.
Jelas Hussamuddin, pihaknya memulakan gerakan mengQurankan bangsa kerana melihat orang Islam kini makin keliru terutamanya individu berpangkat tinggi.
“Al-Quran bukan untuk dibaca dan dihafal tetapi kena faham dan amalkan, manusia ini perlu diberikan melalui hati, mesti reset (set semula) dan reinstalled (dipasang semula) kerana orang yang benar-benar faham dan mempraktikkan al-Quran dalam hidup maka dia akan menjadi ketua yang bagus.
“Sekarang ini, orang lebih kepada hak sedangkan tanggungjawab itu sepatutnya ditumpukan. Manusia tidak bersyukur tetapi bagaimana kita (Karangkraf) boleh bertahan 45 tahun, tipnya adalah susah dan senang (majikan dan pekerja) hadapi bersama.
“Kami memberi peluang kepada semua kakitangan untuk kembangkan potensi ke tahap maksimum, ada common goal (matlamat bersama), rasa selamat serta mempunyai kebebasan, secara tidak langsung pekerja seronok sekali gus menghasilkan kualiti kerja terbaik,” ujar beliau.
Tambahnya, layanan kepada kakitangan mengikut nombor atau petunjuk prestasi utama (KPI) juga perlu dielakkan kerana itu antara punca pekerja stres dan tawar hati untuk bekerja.
“Uruskan syarikat masing-masing dengan utamakan sifat kemanusiaan. Kita nak sama-sama masuk syurga.
“Tetapi nak masuk syurga tidak senang, kita harus buat perkara yang betul berpandukan al-Quran. Itu sebab kita buat program #Qurantime untuk orang hayati dan jadikan ia satu operating system (sistem operasi) untuk berjaya dunia dan akhirat.
“Peranan ketua itu amat penting dari segi roh, fikiran dan hati untuk mengelola jabatan dengan betul.
“Melalui Surah Al-Insan, kita nak gali betul-betul sampai world convention tahun ini supaya pemimpin Islam menghayati, memahami dan mengamalkan. Insya-ALLAH kita akan jadi bangsa yang paling kuat di dunia,” jelasnya.
Kurangkan tekanan
Pakar Psikiatri dan Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria turut mengakui bahawa memanusiakan tempat kerja adalah realistik untuk dilaksanakan.
Jelasnya, ia bagi membantu pekerja daripada mengalami tekanan jiwa seperti penyakit depresi, gangguan kebimbangan (anxiety disorder) atau melakukan perkara yang memudaratkan diri.
“Hakikat yang berlaku adalah sesetengah pekerja mengalami depresi, anxiety, ada sampai tahap mencederakan diri dan fikir mati termasuk mengambil barang terlarang untuk merawat stres.
“Namun akhirnya, tiga sahaja masalah di tempat kerja iaitu melibatkan bos, persekitaran (level) pekerja itu sendiri dan sistem.
“Jadi, kadang-kadang kita ada masalah, perlu teliti dahulu masalah sistem atau orang. Hari ini yang kita dapat belajar humanising workplace ini sebenarnya realistik untuk kita laksanakan,” katanya.
Tiga petua untuk majikanSementara itu, Pendakwah, Mohamad Zarifi Mohamad Daud pula memberi tiga petua atau panduan kepada majikan dan pekerja dalam menangani masalah tekanan.
“Di penghujung Surah Al-Insan ada empat solusi yang ALLAH berikan kepada Rasulullah SAW untuk terus kuat dan teguh semangat untuk berdakwah.
“Jadi, mari kita terapkan konteks ini dalam persekitaran tempat kerja kerana kemungkinan selama ini hati kita kosong.
“Pertama, bersabar dalam apa jua rintangan, cabaran dan dugaan. Inilah untungnya orang beriman kerana sifat itu dapat menahan diri daripada melakukan perkara yang memudaratkan.
“Kedua, zikir dengan menyebut nama ALLAH pada pagi dan petang.
“Selain tasbih dan tahmid, ia juga memberi nasihat maknanya ketua sentiasa berkongsi kebaikan kepada pegawai atau pekerja dan pada waktu malam jangan lupa memperuntukkan masa untuk rukuk, sujud dan tahajud kepada ALLAH. Solat sunat itu merupakan ubat bagi segala keserabutan jiwa.
“Akhir, ayat 27 (Surah Al-Ihsan menyatakan) orang yang tidak beriman kepada ALLAH dan Rasulullah kerana cintakan dunia dan menolak akhirat.
“Ini beza orang beriman, dunia ini ladang mengumpul amal soleh jadi beriman kepada hari akhirat,” ulas beliau.
Tambahnya, tema ‘memanusiakan tempat kerja’ amat tepat pada masanya dalam memberikan motivasi dan juga panduan bagi sistem kerja supaya tidak terpisah dengan elemen kerohanian dan kebajikan.
“Program hari ini kita memberikan fokus terus kepada Surah Al-Insan, yang istimewanya pertemuan kali ini menghimpunkan ketua pegawai eksekutif, ketua jabatan, pengurus termasuk pegawai yang berkhidmat di Jabatan Sumber Manusia.
“Manusia kini terbeban dengan tekanan termasuk kerja berlebihan, yang mungkin disebabkan tiada semangat ukhuwah dan kurang elemen kemanusiaan.
“Jadi melalui tadabbur Surah Al-Insan dapat membawa kelapangan dalam pekerjaan kita,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!