'Bukan halang atau susahkan aktiviti belajar agama'

Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Ahad. (Gambar kecil: Zulkifli)
Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Ahad. (Gambar kecil: Zulkifli)
A
A
A

SHAH ALAM - Keperluan tauliah mengajar bukan bertujuan menghalang atau menyusahkan aktiviti pembelajaran agama, sebaliknya merupakan langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam (hifz ad din).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menyampaikan khutbah Jumaat berkata, ia juga bertujuan mengelakkan individu yang tidak mempunyai kredibiliti menyampaikan syarahan agama kepada orang ramai.

Jelasnya yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, perkara itu adalah selari dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat.

“Hadiri sekalian, meskipun kita nampak ia merupakan perkara yang remeh, namun ia mesti dipandang serius kerana berapa banyak di luar sana ajaran sesat yang telah berkembang luas.

“Pengalaman saya ketika menjadi mufti dahulu, saya pernah menguruskan banyak kes melibatkan ajaran sesat ini. Ada kes yang mana seorang individu itu mengaku sebagai imam mahdi.

“Yang hairannya, ada orang yang menjadi pengikutnya,” katanya dalam khutbah bertajuk ‘Kenapa Tauliah Mengajar Satu Keperluan?’ di surau Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Justeru, Zulkifli mengingatkan bahawa kebenaran tauliah yang telah ditetapkan menerusi sistem perundangan sedia ada tidak perlu menjadi satu isu kerana ia bertujuan menutup sebarang anasir berbahaya terhadap kefahaman umat Islam di negara ini.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan bahawa penceramah yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri tersebut perlu memiliki tauliah.

Tauliah berkenaan meliputi masjid dan surau serta di mana-mana tempat dalam Johor, selaras dengan Seksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!