Lebih 45,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS
Di JOHOR, bilangan mangsa banjir kembali meningkat kepada 44,937 orang pagi ini, berbanding 43,667 orang yang direkodkan pada 8 malam tadi, dengan pertambahan mangsa dicatatkan di daerah Batu Pahat.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan seramai 12,730 keluarga masih ditempatkan di 172 PPS yang beroperasi di lima daerah.
Menurut JPBN, Batu Pahat terus menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa adalah seramai 39,737 orang, diikuti Muar (2,785), Tangkak (1,662), Segamat (706) dan Mersing (47).
Sebanyak lapan sungai masih melepasi aras bahaya antaranya, Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada pada paras 19.70 meter (m); Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) dengan bacaan 4.33 m dan Sungai Senggarang di Senggarang (Batu Pahat) 3.53 m.
Di MELAKA, jumlah mangsa di Jasin menurun kepada 380 orang daripada 99 keluarga pagi ini berbanding 438 orang daripada 115 keluarga pada malam tadi dan masih ditempatkan di lima PPS.
JPBN memaklumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat menempatkan seramai 25 mangsa, SK Parit Penghulu (122), SK Parit Gantong (30), SK Batu Gajah (167) dan SK Sungai Rambai (36).
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin kekal 172 orang daripada 61 keluarga dengan seramai 62 mangsa ditempatkan di SK Kampung Aur manakala 110 mangsa lagi di SK Leban Chondong. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!