'Ada pihak mahu lihat PN korup'- Wan Ahmad Fayhsal

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal ketika menghadiri sidang akhbar pada Perhimpunan Agong tahunan Armada di sini pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal ketika menghadiri sidang akhbar pada Perhimpunan Agong tahunan Armada di sini pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa terdapat pihak yang mahu Perikatan Nasional (PN) dilihat korup dalam kalangan masyarakat Melayu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, ia dapat dilihat menerusi pendakwaan yang dilakukan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

"Kita berhimpun pada pagi ini dengan rasa sugul dan amarah yang mendalam. Muhyiddin sedang menghadapi badai dendam kesumat politik yang tidak terperi hebatnya.

"Walaupun hati saya berasa amat berat melihat dan mendengar pertuduhan yang dibacakan ke atas beliau (Muhyiddin) ketika kami bersama beliau di mahkamah semalam.

"Nun jauh lebih berat buat Abah yang memikul beban ini untuk kita semua," kata beliau dalam Perhimpuan Agung Bersatu di sini.

Wan Ahmad Fayhsal menambah, politik Melayu kini sedang berhadapan dengan kemerosotan terutama di arena Parlimen.

"Jarang kita mendengar ahli Parlimen dari kerajaan untuk bercakap tentang kelangsungan Melayu dan Bumiputera. Hanya ahli Parlimen dari PN sahaja yang berani menyuarakan hal demikian.

"Saya khuatir, jika situasi ini berterusan, orang Melayu akan hilang rasa kepunyaan kepada tanah air mereka sendiri dan akhirnya beranggapan bahawa demokrasi tidak berupaya untuk merealisasikan hasrat dan kepentingan politik mereka," ujarnya.

Justeru, beliau meminta seluruh ahli Bersatu di dalam dewan untuk memastikan bahawa kemerosotan itu tidak berkekalan.