Ada usaha kecilkan pengundi Melayu - Armada Bersatu
KUALA LUMPUR - Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa terdapat usaha mengecilkan saiz jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh kerajaan.
Menurut beliau, tindakan itu adalah selaras dengan konsep 'Malaysian- Malaysia' yang dibawa Pakatan Harapan (PH) tatkala politik bangsa Melayu kini sedang berpecah belah.
"Jika ini berjaya dilakukan, struktur sosial dan ekonomi rakyat bakal berubah.
"Tidak keterlaluan untuk saya katakan, keadaan politik negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan PRU17 serta dekad mendatang bakal berubah sama sekali," katanya ketika Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini pada Sabtu.
Justeru, beliau menyatakan kewujudan Bersatu dalam membawa naratif baharu perjuangan Melayu amat diperlukan.
"Wakil rakyat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai keabsahan demokratik untuk menawarkan satu pembawakan baharu kepada politik Melayu agar tidak terus tenggelam dalam pembawakan politik yang diterajui PH.
"Tahap keyakinan Melayu yang rendah terhadap PH kini sebenarnya adalah satu signal jelas dan nyata tentang betapa dahaganya bangsa Melayu kini kepada kepimpinan politik dan kerajaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!