Bersatu kuatkan UMNO selepas pemilihan

Md Jamil (dua dari kanan) mengundi pada Pemilihan Pemuda UMNO bahagian Kuantan di sini pada Sabtu.
Md Jamil (dua dari kanan) mengundi pada Pemilihan Pemuda UMNO bahagian Kuantan di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Semua calon yang bertanding pada pemilihan sayap UMNO bahagian termasuk Pemuda yang diadakan serentak di seluruh negara pada Sabtu perlu menghormati proses demokrasi dan menerima setiap keputusan dengan hati terbuka serta berlapang dada.

Ketua UMNO bahagian Kuantan, Datuk Seri Abd Hamid Nazahar berkata, selepas pertandingan semua pihak perlu bersatu kembali dan jangan membawa rasa tidak puas hati hingga ke luar parti.

Menurutnya, jika timbul masalah, selesaikan secara baik dalam parti.

"Ibarat biduk berlalu kiambang bertaut dan ahli jawatankuasa yang terpilih diharap dapat bekerja bersama untuk memperkukuhkan parti.

"Jangan hari ini menang, tiga tahun akan datang baru muncul kembali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir meninjau Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuantan di sini pada Sabtu.

Abdul Hamid antara enam ketua bahagian di Pahang yang menang tanpa bertanding berkata, proses mesyuarat dan pemilihan Pemuda UMNO Kuantan berjalan baik dengan lancar.

Para perwakilan dan calon yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuantan di sini pada Sabtu
Para perwakilan dan calon yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuantan di sini pada Sabtu

"Ramai perwakilan datang bermesyuarat dan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih barisan ahli jawatankuasa baharu hari ini.

"Ramai juga yang menawarkan diri bertanding sekaligus membuktikan demokrasi masih subur dalam UMNO.

"Saya kagum dengan semangat perwakilan dan calon bertanding yang terus komited bersama UMNO walaupun dalam keadaan parti agak lemah berbanding 20 atau 30 tahun lalu," jelasnya.

Beliau berkata, UMNO masih ada harapan untuk kuat dan bangkit kembali asalnya dipandu dan diuruskan dengan baik.

"Jadi saya menaruh harapan kepada ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian Kuantan yang dipilih nanti supaya dapat bekerja keras membantu parti menarik lebih ramai generasi muda untuk bersama UMNO," katanya.

Pada pemilihan Pemuda UMNO bahagian Kuantan kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang, Md Jamil Pauzi ditentang pencabar, Tengku Ahmad Fareez Tengku Zulkifly dan Abdul Hafiz Mad Radzi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!