Kerjasama UMNO-PH untuk tutup dosa silam - Armada

Wan Ahmad Fayshal ketika Perhimpunan Agung Bersatu.
Wan Ahmad Fayshal ketika Perhimpunan Agung Bersatu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerjasama politik yang dijalinkan UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) hanyalah bertujuan untuk menutup dosa-dosa lampau pemimpin mereka.

Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia sekali gus merosakkan kesatuan antara parti utama Melayu di Malaysia.

"Lebih memeritkan lagi, pakatan tidak suci ini disaluti dengan hipokrasi politik yang menebal dan disokong oleh seluruh jentera Pakatan Harapan (PH).

"Jika dahulu, PH mahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dihumban ke dalam penjara, kini dia sendiri jadi Timbalan Perdana Menteri yang diangkat gabungan tersebut.

"Segala dosa-dosa silamnya seakan dilupuskan daripada sejarah," katanya ketika Perhimpunan Agung Bersatu di sini, pada Sabtu.

Beliau menambah, kerjasama itu hakikatnya tidak mendatangkan justifikasi yang baik terhadap PH kerana UMNO akan kekal sebagai liabiliti kepada gabungan berkenaan.

Jelasnya, parti itu kini terpaksa berpaut kepada PH demi meneruskan kelangsungan politik mereka.

"UMNO kini hanya mampu merayu belas kasihan kerajaan untuk mereka kekal relevan," kata Wan Ahmad Fayhsal.