Salur air ke Pulau Pinang: Keputusan Perak berdasarkan kajian

Anwar menyiram pokok Periuk Kera bagi menyempurnakan gimik perasmian Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia pada Sabtu. - Foto: Bernama
Anwar menyiram pokok Periuk Kera bagi menyempurnakan gimik perasmian Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A
IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa jua keputusan atau dasar yang diputuskan oleh kerajaan negeri Perak berhubung pembekalan air ke negeri Pulau Pinang, ia pastinya dikaji dengan teliti dan perlu dihormati.

Beliau berkata, prosesnya mungkin sedang dibincangkan kerana Perak pastinya memberi keutamaan terhadap keperluan negeri sendiri terlebih dahulu dan dasar sedemikian tidak ada salahnya.

"Ini kita tengok.. apakah benar ada lebihan yang banyak, unjuran dia, untuk keperluan lima tahun, 10 tahun, itu semua dikaji secara ilmiah dan santifik, kemudian baru buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia di sini.

Sambutan bertemakan ‘Accelerating Change’ itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kerajaan negeri Perak yang belum bersedia untuk berunding dengan Pulau Pinang mengenai pembekalan air ke negeri jirannya itu.

Pada 1 Disember lepas, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, keputusan kerajaan negeri untuk tidak melaksanakan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang, adalah muktamad.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata, Malaysia tidak sepatutnya berhadapan masalah bekalan air ketika musim kemarau kerana negara ini mempunyai limpahan air dan hujan yang banyak setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim supaya mencari langkah terbaik bagi mengatasi sebarang masalah ketika musim kemarau termasuk mengkaji kaedah yang digunakan di negara lain.

"Tak guna kita ada kepintaran dan kebijakasaan tapi tak dimanfaatkan. Nik (Nik Nazmi).. kita tak mahu dengar tahun depan bila musim kemarau, air tiada, kerana negara kita hujan lebat dua kali setahun," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!