Lihat diri sebelum mengata orang - Khidir
SHAH ALAM - Pemuda Perikatan Nasional Negeri (PN) Selangor menggesa Angkatan Muda Keadilan (AMK) bangkit mendesak Presiden UMNO meletakkan jawatan sekiranya benar-benar mahu mencerminkan tauladan baik dalam kepimpinan negara.
Desakan Pemuda PN Selangor itu dibuat selepas Ketua Penerangan AMK, Haziq Azraf menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin agar melepaskan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Pengerusi PN demi mempertahankan integriti.
Exco Pemuda PN Selangor, Khidir Jamil berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seharusnya meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu sekiranya mahu mempamerkan ketelusan dan teladan baik kepada rakyat khususnya dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia.
Khidir yang juga Ketua Pemuda PN Parlimen Bangi berkata, sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) seharusnya membuktikan isu integriti diangkat sebagai perkara utama diamalkan di dalam kerajaan sedia ada.
"Mereka (AMK) sepatutnya terlebih dahulu menasihati Timbalan Perdana Menteri itu agar melepaskan jawatan kerana masih berdepan dengan 40 daripada 87 pertuduhan rasuah di mahkamah sejak Januari 2022.
"Mengapa AMK mahu mempertikaikan integriti Pengerusi PN, sedangkan Kerajaan Perpaduan masih lagi menyimpan Zahid Hamidi berstatus kluster mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri di dalam kabinet?
"Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya didakwa untuk tujuh pertuduhan sahaja dan ia bukanlah melibatkan suapan atau rasuah, sebaliknya tuduhan tidak berasas itu hanyalah berkaitan soal salah guna kuasa yang direka oleh pihak tertentu. Ia jelas ada perbezaan yang besar," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Khidir berkata, Kerajaan Perpaduan dilihat mengamalkan sikap pilih bulu serta cakap tidak serupa bikin apabila berbicara soal integriti.
Untuk itu katanya, AMK seharusnya berasa malu kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini dilihat musuh ketat kepada UMNO, sebaliknya kini saling melindungi antara satu sama lain.
Malah tambahnya lagi, PH seakan memberi talian hayat kepada parti yang hanya menunggu masa untuk terkubur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!