Redah banjir 12km demi kucing kesayangan

Keadaan di pekan Parit Sulong yang masih digenangi banjir termenung. - Foto: Bernama
Keadaan di pekan Parit Sulong yang masih digenangi banjir termenung. - Foto: Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Demi kucing kesayangan, seorang wanita sanggup berjalan sejauh 12 kilometer (km) bagi memastikan haiwan peliharaannya itu mempunyai makanan yang mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik.

Meskipun terpaksa meredah air banjir yang parasnya tidak menentu dan adakalanya hingga ke paras pinggang, Siti Nooryani Mohd Kamal, 21, ditemani rakannya tetap berbuat demikian bagi ‘menziarahi’ lima ekor kucingnya.

Menurut Siti Nooryani, dia bersama lapan ahli keluarganya menetap sementara di rumah saudara di Parit Maimon di sini selepas rumahnya di Kampung Melayu Sungai Jong, Parit Sulong dinaiki air sehingga paras pinggang pada 3 Mac lepas.

"Ibu bapa saya beritahu kami sekeluarga tidak pindah ketika banjir besar pada 2006 tetapi kali ini kami terpaksa berpindah kerana bukan sahaja rumah dinaiki air tetapi bekalan elektrik juga telah diputuskan untuk tujuan keselamatan.

"Oleh kerana sudah tujuh hari kami meninggalkan rumah, saya nekad pulang ke rumah dengan meredah banjir selepas melihat cuaca panas beberapa hari kebelakangan ini untuk melihat keadaan rumah serta beri makan kepada kucing-kucing yang dipelihara sejak enam tahun lepas," katanya kepada Bernama.

Siti Nooryani berkata, meskipun sedar bahaya meredah banjir namun dia hanya berbuat demikian setelah keadaan air dilihat semakin surut sejak tiga hari lepas.

Sementara itu, Mohd Shariz Izwan Shamsul, 21, dari Kampung Parit Jidin berkata, dia meredah air banjir yang kini berada di paras paha untuk pulang ke rumah bagi mengambil barangan yang penting.

Katanya, paras air masih tinggi di hadapan rumahnya tetapi disebabkan bimbang kerana sudah lama meninggalkan rumah selepas berpindah ke pusat pemindahan sementara berhampiran sejak 3 Mac lepas, dia bertindak nekad.

Tinjauan Bernama di Parit Sulong, di sini mendapati pekan itu masih lumpuh dengan laluan utama ke beberapa kampung dinaiki air dan hanya kenderaan berat dibenarkan untuk melaluinya.

Walaupun keadaan cuaca panas sejak Selasa lepas, namun paras air semakin meningkat susulan fenomena air pasang yang dijangka berlaku sehingga Ahad ini dan turut memberi kesan kepada kawasan rendah di Batu Pahat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!