Shahrizat dahului dalam saingan Ketua Wanita UMNO

Shahrizat
Shahrizat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mendahului dua pencabar lain dalam saingan pemilihan parti bagi jawatan Ketua Wanita UMNO.

Menurut keputusan tidak rasmi setakat jam 4.40 petang tadi, Shahrizat ketika ini mendahului dengan tiga undi daripada jumlah 347 undi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh pula mendahului tiga pencabar dalam saingan pemilihan parti bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO. Muhamad Akmal mendahului dengan tiga undi daripada 250 jumlah undi bagi peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pergerakan Pemuda UMNO.

Sementara itu, Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi kini mendahului lima pencabar lain bagi jawatan Ketua Puteri UMNO.

Pada Sabtu, pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 bermula pada hari ini dengan proses pengundian para perwakilan seluruh Malaysia.

Para perwakilan akan mengundi untuk memilih calon terbaik bagi mengemudi bahtera Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di bahagian masing-masing serta pusat.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, seramai tujuh orang calon menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (12), Ketua (4), Naib Ketua (4) dan 113 jawatan EXCO.

Untuk sayap Wanita UMNO, seramai dua calon mempertandingkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (4), Ketua Wanita UMNO (2), Naib Ketua Wanita UMNO (2) dan 61 bagi jawatan EXCO.

Paling mencuri tumpuan adalah pertandingan bagi kerusi Ketua Wanita UMNO yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, akan dicabar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula setelah melepaskan jawatan itu pada 2018.

Sementara itu, bagi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pula, dua orang calon menawarkan diri bagi jawatan Pengerusi Tetap, dua Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua, tiga Naib Ketua dan 42 calon bagi jawatan Exco.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!