PRN: Wanita PH Kelantan sasar lima kerusi
KOTA BHARU - Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan menyasarkan lima kerusi untuk ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Timbalan Ketuanya, Dr Hafidzah Mustaqim berkata, pertambahan kerusi itu perlu diberikan kerana mereka mempunyai calon yang berkaliber dan berpotensi untuk menang berpandukan kepada merit.
"Jika sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) PH memberikan tiga kerusi kepada calon wanita di Kelantan, diharap ia akan bertambah kali ini.
"Kelayakan menjadi calon boleh dilihat melalui kesungguhan mereka menjadi aktivis politik, menyuarakan suara wanita dan banyak lagi," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau hadir pada Sambutan Hari Wanita Peringkat PH Kelantan di sini.
Menurut beliau, Wanita PH bagaimanapun menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
Ujarnya, mengenai kawasan tumpuan, perkara tersebut sedang dibincangkan untuk diperincikan dengan lebih mendalam.
Dalam perkembangan lain, Hafidzah memberitahu, pihaknya akan terus mendekati golongan wanita dalam usaha meraih sokongan pada PRN nanti.
"Kami (wanita) akan berusaha sebaik mungkin dalam membantu PH memperoleh kemenangan di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!