Perkeso sasar 500,000 suri rumah carum SKSSR

Perkeso
Perkeso
A
A
A

MELAKA - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan kira-kira 500,000 suri rumah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Bahagian Sinergi Perkeso Rahmat Ismail berkata, setakat 2 Mac lepas, sebanyak 174,000 suri rumah telah mencarum di bawah SKSSR yang dilancarkan pada 1 Disember lepas bagi memberi perlindungan bencana domestik dan keilatan ke atas golongan berkenaan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 166,666 pencarum merupakan suri rumah yang berdaftar di bawah e-Kasih selain mereka yang mencarum dengan i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman mereka ditaja kerajaan selama setahun menerusi peruntukan Bajet 2022.

"Pencarum di bawah skim ini iaitu suri rumah bukan semestinya suri rumah sepenuh masa tetapi mereka yang bekerja juga sama ada sektor swasta atau kerajaan boleh mencarum selagi mereka merupakan warganegara Malaysia, seorang wanita dan berusia tidak melebihi 55 tahun.

"Di bawah SKSSR, suri rumah terlibat dilindungi secara 24 jam dan layak mendapat faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara dan kekal selain pencen penakat serta elaun layanan sentiasa dan pencarum boleh menjalani fisioterapi di pusat rehabilitasi Perkeso seperti di Melaka," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs Melaka Careertrans dan SKSSR 2023 oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Rahmat berkata, caruman berkenaan boleh dilakukan sendiri oleh golongan suri rumah, suami atau dibiayai oleh majikan mereka dengan nilai caruman sebanyak RM120 bagi tempoh 12 bulan yang dibayar secara 'in advance' atau dibayar terlebih dahulu.

"Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menawarkan skim ini menerusi Perkeso untuk golongan suri rumah manakala di peringkat dunia, kita adalah negara keempat.

"Jadi, rakyat Malaysia terutama suri rumah khususnya wanita termasuk mereka yang bujang digalak untuk mendapatkan perlindungan ini agar dapat melindungi diri mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan domestik," katanya.

Beliau berkata, Perkeso juga sedang giat mempromosikan SKSSR menerusi libat urus dengan pelbagai pihak seperti majikan, kawasan penempatan Orang Asli dan badan bukan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dan memberi penerangan berkaitan skim itu.

Karnival Kerjaya MyFutureJobs Melaka Careertrans yang berlangsung hari ini dan esok menawarkan lebih 6,500 peluang pekerjaan kepada pencari kerja melibatkan 36 majikan daripada pelbagai sektor. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!