Afif kuasai sesi kelayakan di Jempol
[DIKEMAS KINI] PELUMBA Petronas, Sprinta Yamaha–CKJ Racing, Ahmad Afif Amran melaungkan amaran awal menjelang perlumbaan Kategori CP150 Pusingan Kedua Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix apabila menguasai sesi kelayakan di Dataran Seri Jempol, Jempol Negeri Sembilan pada Sabtu.
Litar Jempol sepanjang 1.104 kilometer dengan lapan selekoh yang merupakan antara litar bersifat teknikal itu mudah dikuasai Ahmad Afif apabila melakarkan masa terpantas dengan catatan masa 44’226 saat (s).
Untuk rekod, Md Izzat Zaidi Md Salehan di litar sama mencatatkan rekod masa terpantas, 43’880s pada musim lalu.
“Saya amat berterima kasih dengan sokongan krew pasukan apabila saya terjatuh pagi ini keadaan jentera saya total loss.
"Saya hampir hilang setup keseluruhan jentera sebelum ke sesi kelayakan. Tetapi krew dan mekanik telah berbincang untuk memperbaiki kekurangan dan saya bersyukur, kerjasama daripada krew dan mekanik menghasilkan pencapaian masa terpantas," katanya.
Sementara itu tempat kedua milik pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Md Muzakkir Mohamed dengan catatan masa 44’263s.
Kasma Daniel Kasmayudin dari Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor pula ketiga dengan catatan masa 44’281s.
Bagi Kategori CP125, pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Syafiq Rosli memimpin catatan masa terpantas di sesi kelayakan kategori itu.
Syafiq yang sebelum ini meraih kemenangan dalam pusingan pertama di Litar Antarabangsa Sepang pada Februari lalu kembali pecutan bertenaga di Dataran Seri Jempol.
Pada sesi latihan pertama, pelumba dari Perak mencatatkan masa terpantas 47’318s diikuti 47’177s dalam sesi latihan kedua.
Bagi sesi kelayakan, Syafiq telah memperbaiki cara pengendalian jenteranya sekali gus melakarkan masa terpantas pada 46’637s.
“Pada sesi tadi, saya ada buat sedikit kesilapan. Saya drop gear kepada gear 0 kemudian saya overshot.
"Namun begitu, saya cuba mencari masa balik dan berjaya mendapatkan masa yang agak bagus. Esok ada lagi cabarannya dan saya sedia menempuhinya," kata Syafiq.
Sementara itu, tempat kedua ketiga menjadi milik dua pelumba Jetron Yamaha YYPang Racing Team, Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam (46’640s) dan Md Khairi Asyraf Mahmood (46’644s).
Bagi Kategori Wira KBS pula yang menyaksikan penguasaan pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Emil Idzhar Ezuan dengan mencatatkan masa 47’847s, dia berterima kasih atas sokongan keluarganya.
“Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa saya yang telah memberikan sokongan dan dorongan terhadap aspirasi sejak kecil lagi.
"Terima kasih kepada krew dan mekanik pasukan yang telah banyak membantu dalam persediaan jentera kali ini.
"Pada sesi tadi, saya hanya mengikuti pelumba di hadapan, Ikram yakin rakan sepasukan. Bila saya ikut ia lebih improve lap time.
“Bagi sesi shoot out esok, saya percaya dapat buat lebih baik dengan catatan masa. Saya lebih yakin dengan jentera dan sudah pasti akan memberikan terbaik," katanya.
Tempat kedua milik Adib Hareez Hazwat dari Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 47’864s.
Pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Md Adib Arsyad Md Hisam mencatatkan masa ketiga dengan catatan masa 47’864s sesi kelayakan kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!