MPT Bersatu tolak peletakan jawatan Muhyiddin
SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara menolak peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Khas MPT parti yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.
“Ini kerana MPT menegaskan bahawa pertuduhan ke atas Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden Bersatu dan bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi.
“MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar dan bertenang dalam menghadapi ujian yang besar terhadap Presiden dan Bersatu dengan fitnah serta kezaliman,” katanya.
Sebelum ini, Ahli MPT Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan bahawa parti itu mahu Muhyiddin kekal sebagai Presidennya.
Wan Saiful turut menjelaskan bahawa kedudukan Muhyiddin berbeza dengan jawatan yang dilepaskannya sebelum ini iaitu Ketua Penerangan parti selepas dituduh di mahkamah berhubung kes rasuah.
Jelasnya, jawatan ketua penerangan merupakan lantikan sebaliknya Presiden Bersatu itu dipilih dan ahli menuntut beliau untuk terus kekal.
Dalam pada itu, Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada sayap baharu Srikandi Muda yang berjaya menganjurkan konvensyen pertama mereka.
“Mesyuarat MPT Bersatu yang berlangsung pada hari ini menerima laporan sayap Srikandi dan Armada yang selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) mereka,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!