Tengku Mahkota Kelantan, ahli keluarga baharu masuk kedai kopi
KOTA BHARU - Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan pasangannya, Cik Sofie Louise Johansson membuat penampilan pertama di khalayak ramai dengan meluangkan masa masuk dan duduk di kedai kopi semalam secara mengejut.
Baginda bersama pasangan berkenan singgah di Kopitiam Kuan Heong Huan, Jalan Che Su di sini yang terkenal dengan kopi istimewanya, telur masak separuh dan roti bakar.
Gambar Baginda berdua mula tular di laman sosial sejak semalam dan turut dikongsi salah seorang pelayar Facebook, Sukri Haji Yunus.
Baginda dilihat bersama keluarga dari Sweden tanpa sebarang protokol sebagaimana kebiasaannya.
Sofie Louise tampil anggun dengan mengenakan baju kurung biru dan berselendang.
Kemunculan pasangan Diraja tersebut membuatkan pengunjung di kopitiam berkenaan teruja kerana ketibaan Baginda tidak dijangka.
Baginda melangsungkan perkahwinan dengan kenalan lamanya itu Jumaat lalu di Istana Balai Besar di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!