1,000 kanak-kanak gunting rambut percuma
HULU TERENGGANU – Lebih 50 tukang gunting bergabung tenaga dan kemahiran masing-masing bagi menjayakan Program Gunting Rambut Percuma iaitu satu inisiatif dilaksanakan oleh Kawasan Rukun Tentangga (KRT) daerah ini.
Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Terengganu, Asronizam Mamat berkata, program tersebut diadakan selama tiga hari bermula 10,11 dan 17 Mac nanti melibatkan kerjasama sebanyak 22 KRT di seluruh Hulu Terengganu.
Menurutnya, dianggarkan 1,000 kanak-kanak berusia antara lima hingga 16 tahun yang bakal memasuki sesi persekolahan baharu pada minggu depan mendapat manfaat dari program diadakan secara percuma itu.
“Objektif utama gunting rambut percuma ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan ditanggung ibu bapa, kita faham banyak perbelanjaan perlu diuruskan menjelang sesi persekolahan dan ini antara inisiatif bantuan kita.
“Jika kos gunting rambut bagi seorang kanak-kanak adalah RM10, maka kita anggarkan sebanyak RM10,000 kos keseluruhan mampu dijimatkan melalui program ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Sabtu.
Asronizam berkata, program gunting rambut percuma mula dianjurkan KRT sejak tahun 2017 namun ia terpaksa dihentikan seketika pada tahun 2020 ekoran pendemik Covid-19 yang melanda negara.
Menyedari ia memberi manfaat kepada ribuan kanak-kanak dan pelajar katanya, program tersebut diteruskan semula bagi menghargai penduduk setempat yang sentiasa memberi kerjasama serta sokongan setiap program dianjurkan KRT.
“Saya gembira melihat wajah ceria kanak-kanak yang menyertai program ini, harapan saya adalah semoga KRT dapat melaksanakan pelbagai aktiviti yang mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Siti Aishah Abdullah, 39, dari Kampung Landas yang menghantar anaknya memotong rambut pada Program Gunting Rambut Percuma berharap aktiviti itu dapat diteruskan pada setiap tahun.
“Kalau hantar anak potong rambut di kedai, kena keluar belanja sendiri lebih-lebih lagi anak lelaki melebihi tiga orang. Jadi program ini bantu jimatkan perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!