PJ Joran tawar hadiah juara RM6,000

Mohamad Azhan (depan) melepaskan ikan patin hampir 600 kg bersaiz antara tiga hingga lima kg di Taman Tasik Bandaran, Kelana Jaya Jumaat lepas.
Mohamad Azhan (depan) melepaskan ikan patin hampir 600 kg bersaiz antara tiga hingga lima kg di Taman Tasik Bandaran, Kelana Jaya Jumaat lepas.
A
A
A

PERTANDINGAN memancing Petaling Jaya Joran 2023 (PJ Joran) di Taman Tasik Bandaran, Kelana Jaya, Ahad depan menanti penyertaan kaki pancing bagi tahun kelima.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, pertandingan memancing yang menjadi antara acara mendapat sambutan sememangnya dinantikan-nantikan oleh kaki pancing di sekitar Lembah Klang.

“Penyertaan tahun ini diharap terus meningkat berbanding tahun lalu, sekali gus memeriahkan suasana selaras usaha MBPJ mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai satu destinasi untuk beriadah," katanya.

Beliau berkata, juara bakal membawa pulang RM6,000 bersama piala, naib juara RM2,000 dan tempat ketiga sebanyak RM1,000.

“Tempat keempat hingga lima berpeluang meraih hadiah bernilai RM400, manakala tempat keenam hingga ke-10 masing-masing menerima RM200, ke-11 hingga ke-20 (RM150), ke-21 hingga ke-30 (RM100) dan ke-31 hingga ke-100 (RM80),” katanya.

Tambahnya, hadiah khas untuk pemenang ikan keli turut disediakan sehingga di tempat kelima.

Bagi menarik penyertaan, hadiah wang tunai keseluruhan turut ditambah bagi menarik penyertaan kaki-kaki pancing hadir ke pertandingan kali ini.

“Jika tahun 2022, spesis patin seberat 4.030kilogram (kg) menjadi juara, tahun ini beliau berharap ada kaki pancing dapat menaikkan pula saiz yang lebih besar.

“Tasik ini menjadi kesempatan terbaik buat kaki pancing bertarung melawan ikan seperti patin, tongsan, toman, haruan, rho, kap, belida, keli dan talapia,” ujarnya.

Tambahnya, pertandingan itu juga menjadi platform buat masyarakat sekitar Petaling Jaya khususnya kaki pancing dapat berkumpul di tasik tersebut dan pihaknya menyasarkan seramai 800 peserta akan hadir.

“Hasrat MBPJ adalah untuk mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai satu destinasi untuk beriadah bersama keluarga selain meningkatkan sumber pelancongan dan ekonomi setempat.

“Dengan adanya aktiviti ini kita dapat membawa penduduk Petaling Jaya dan kaki pancing datang ke sini membawa joran masing-masing. Peluang perniagaan dapat ditingkatkan dan seterusnya komuniti akan merasa seronok tinggal di Petaling Jaya.

“Pertandingan ini juga bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi yang boleh dimanfaatkan warga Petaling Jaya dengan aktiviti sihat,” katanya.

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM50 untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dilakukan Sabtu depan, bermula pukul 3 petang hingga 10 malam dan keesokannya pada pukul 6.30 pagi hingga waktu pertandingan.

Sebanyak 500 baju-T akan diedarkan secara percuma kepada peserta terawal selain berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik dan peralatan memancing.

Acara pelepasan ikan sempena PJ Joran ini telah disempurnakan Mohamad Azhan, Jumaat lalu melibatkan hampir 600 kg spesies patin bersaiz satu hingga lima kg.

Taman Bandaran Kelana Jaya merupakan taman yang terbesar dan sangat dikenali di Petaling Jaya.

Terdapat tujuh tasik di taman ini dan ia merupakan salah satu tempat yang popular dengan kepelbagaian trek joging di sekeliling tasik.

Selain trek joging, taman itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan-kemudahan lain untuk pengunjung beriadah seperti alat senaman serta skate park.

Untuk pertanyaan berkaitan PJ Joran 2023 boleh hubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811 atau layari laman sosial facebook.com/jorankl.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!