Pearly-Thinaah gagal ke final Terbuka Jerman
HASRAT beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke final Terbuka Jerman 2023 tidak kesampaian selepas tewas kepada pilihan pertama kejohanan, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun pada aksi separuh akhir awal pagi tadi (Sabtu malam di Jerman).
Dalam kejohanan yang berlangsung di Mulheim itu menyaksikan beregu nombor enam dunia, Pearly-Thinaah terpaksa akur apabila mudah ditundukkan 24-22, 21-13 dalam perlawanan selama 42 minit.
Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah yang juga pilihan ketiga kejohanan pernah melakukan perhitungan bersama Nami-Chiharu sebanyak tujuh kali, namun menewaskan pasangan Jepun itu sekali sahaja iaitu pada Kejohanan Terbuka Perancis 2022 pada Oktober tahun lepas.
Nami-Chiharu yang kini menghuni nombor dua dunia, akan bertemu Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan yang juga pilihan kelapan kejohanan pada pentas final, yang dijangka berlangsung pada 12 tengah malam ini waktu Malaysia, dalam usaha merebut gelaran musim ini.
Kini, fokus Pearly-Thinaah yang juga juara Terbuka Perancis 2022 ialah menghadapi saingan All England 2023 yang akan membuka tirai pada Selasa ini (14 Mac) apabila dijadual bertemu pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara pada pusingan pertama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!