Noraini mahu perkasa sayap Wanita ke tahap lebih tinggi
SHAH ALAM - Datuk Dr Noraini Ahmad yang berjaya mempertahan jawatan Ketua Wanita UMNO dalam saingan sengit pemilihan sayap semalam mengajak jentera meneruskan pemerkasaan pergerakan itu ke tahap yang lebih tinggi.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang diperoleh.
Pemilihan sayap pada kali ini, Noraini bertanding menentang Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula selepas tidak mempertahankan jawatan tersebut pada 2018.
“Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi ALLAH SWT.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Wanita UMNO di seluruh negara dan sahabat #SusahSenangBersama di atas sokongan dan kepercayaan kepada saya sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia.
“Ayuhlah, bersama kita meneruskan pemerkasaan Wanita untuk ke tahap lebih tinggi menjadi realiti,” katanya.
Awal pagi tadi, Sinar Harian melaporkan Noraini hampir pasti mengekalkan jawatan tersebut pada pemilihan sayap parti berkenaan bagi penggal kedua.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Noraini mendahului dengan 106 undi daripada 189 bahagian berbanding pencabar yang juga bekas Ketua Wanita UMNO.
Untuk rekod, Noraini menerajui sayap UMNO itu sejak 2018 hingga 2021.
Shahrizat pula memimpin Wanita UMNO selama 11 tahun bermula 2008 hingga 2018.
Keputusan rasmi pemilihan itu bakal diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad setelah selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan.
Pemilihan UMNO pula akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!