Haaland gembirakan Manchester City
MANCHESTER City terpaksa menunggu sehingga penghujung aksi untuk meraih gol tunggal bagi menewaskan Crystal Palace biarpun mendominasi perlawanan di Stadium Selhurst Park, awal pagi Ahad.
Penalti pemain sensasi, Erling Haaland pada minit ke-78 melegakan Pep Guardiola untuk meraih tiga mata berharga dalam aksi di laman The Eagles kendalian Patrick Vieira tersebut.
The Citizens memperoleh penalti setelah Ilkay Gundogan dikasari oleh Michael Olise dalam kotak penalti.
Haaland kemudian tenang menyempurnakan sepakan penalti sekali gus gol peribadi ke-34 musim ini.
"Saya menikmati setiap detik ketika beraksi. Ini adalah England. Inilah yang saya tonton sepanjang hidup saya," ujar Haaland.
Dalam pada itu, Guardiola menjelaskan kesukaran apabila beraksi di Selhurst Park yang mengamalkan corak bertahan dan gemar melambat-lambatkan permainan.
"Berdasarkan pengalaman, setiap kali datang ke sini pasti sukar. Kami sentiasa bergelut kerana kami mahu menjaringkan banyak gol.
"Mereka akan melambat-lambatkan permainan jadi kami perlu bekerja keras.
"Ia bukan mudah, mereka bertahan dengan enam orang di dalam kotak penalti. Erling dikawal oleh dua orang. Ia memerlukan kesabaran," ujar Guardiola.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!