Warga emas cedera digigit buaya ketika ambil wuduk

Che Man menunjukkan tangan kanannya yang cedera selepas digigit buaya dalam kejadian di Padang Papan, Manir pada petang Jumaat.
Che Man menunjukkan tangan kanannya yang cedera selepas digigit buaya dalam kejadian di Padang Papan, Manir pada petang Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang penangkap ikan darat cedera pada tangan kanan selepas disambar seekor buaya ketika sedang mengambil air sembahyang di kawasan paya dalam kejadian di Padang Papan, Manir di sini, petang Jumaat.

Mangsa, Che Man Zakaria, 61, berkata, ketika kejadian dia ingin menunaikan solat maghrib sebelum tangannya tiba-tiba disambar seekor buaya dipercayai buaya tembaga sepanjang kira-kira dua meter.

"Waktu sedang basuh tangan tu, saya letak lampu suluh di tepi. Tiba tiba tangan kanan direntap seekor buaya sehingga saya terjatuh ke dalam sungai.

"Selepas terjatuh dalam air, buaya itu melepaskan tangan saya. Rasa terkejut dan bersyukur sebab terselamat. Mungkin cahaya lampu suluh itu menarik perhatian buaya dan segera menyambar tangan saya," katanya yang tinggal di Kampung Kebor Besar, Manir dekat sini.

Menurut Che Man, sudah menjadi rutin dia ke kawasan itu untuk menangkap ikan dan hasil tangkapan akan dijual setiap Sabtu di Pasar Manir.

"Saya bersama beberapa orang rakan sudah biasa ke situ untuk menangkap ikan sebab tempat tu macam lubuk. Ada pelbagai spesis ikan darat.

"Hampir setiap minggu saya akan ke situ dan bermalam untuk menangkap ikan terutama ikan haruan dan belut. Tak sangka pula ada buaya yang menunggu, "katanya.

Che Man berkata, selepas kejadian, dia segera mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima 12 jahitan di tangan kanan.

Dia yang telah 15 tahun menangkap ikan di kawasan itu berkata, terdapat tiga ekor buaya yang dipercayai berada sekitar kawasan itu sejak awal tahun ini.

Namun katanya, sebelum ini buaya-buaya berkenaan tidak bertindak agresif dan hanya memakan umpan yang dipasang di situ.

"Walaupun ditimpa kejadian ini, ia tidak mematahkan semangat saya kerana pekerjaan ini (menangkap ikan) dilakukan selama ini untuk menyara keluarga.

"Cuma saya harap pemancing-pemancing atau sesiapa yang berada di sekitar kawasan itu agar berhati hati ketika melalui tempat tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!