Muhamad Akmal mahu kembalikan kepercayaan rakyat

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Dr Muhamad Akmal Saleh yang meraih majoriti besar dalam saingan sebagai Pemuda UMNO bertekad mahu mengembalikan kepercayaan dan persepsi rakyat terhadap pucuk kepimpinan parti berkenaan.

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Melaka itu mengucapkan rasa syukur atas kemenangan yang diperoleh selepas berjaya menewaskan tiga lagi pencabarnya.

Pemilihan sayap pada kali ini menyaksikan Muhammad Akmal menentang Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan calon Meor Hassan Mat Ali.

“Terima kasih kepada semua pemuda UMNO Malaysia dari Perlis hinggalah ke Sabah yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk kita sama-sama menerajui Pemuda UMNO ini.

“Ini masa untuk kita bekerja dengan lebih kuat untuk mengembalikan kepercayaan dan mengubah persepsi rakyat kepada parti kita ini.

“Pemuda UMNO mesti menjadi juara kepada suara rakyat. Pemuda cara kita,” katanya.

Saingan bagi kerusi Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan kali ini menyaksikan Muhammad Akmal menang mudah.

Pada Sabtu, menerusi perkongsian bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di akaun media sosialnya, Sinar Harian melaporkan Muhamad Akmal memperoleh 102 undi daripada 189 bahagian.

Sementara itu, pencabarnya, Mohd Shahar mendapat 17 undi manakala Armand Azha pula mendapat enam undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!