Kerajaan persekutuan wajar pertimbang KXP - Sultan Kedah

Sultan Sallehuddin bergambar bersama barisan Exco kerajaan negeri pada Mesyuarat Pertama Penggal Keenam DUN Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Ahad.
Sultan Sallehuddin bergambar bersama barisan Exco kerajaan negeri pada Mesyuarat Pertama Penggal Keenam DUN Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan persekutuan wajar mempertimbangkan cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi negeri Kedah dan wilayah utara.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, berdasarkan pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 24 Februari lalu, cadangan pembangunan projek berkenaan yang menjadi salah satu projek berimpak tinggi negeri tidak diberi keutamaan.

"Perancangan untuk membangunkan projek KXP bermula sejak tahun 2013. Dalam tempoh itu sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan dijalankan.

"Berdasarkan kepada kajian-kajian berkenaan, pembangunan KXP bakal menjadi 'Economic Game Changer' kepada Kedah dan berfungsi sebagai pelengkap kepada lapangan terbang sedia ada di utara tanah air melalui penyediaan perkhidmatan kargo yang lebih komprehensif dan disokong dengan pembangunan hub Maintenance, Repair and Operation (MRO)," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14, tahun 2023 di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Berangkat sama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Selain itu, Sultan Sallehuddin bertitah, projek KXP yang dilaksanakan secara kaedah pembiayaan swasta (PFI) adalah berperanan sebagai pemboleh (enabler) kepada keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis.

"Ia turut merangkumi komponen lain seperti Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing Hub, Business Park dan pembangunan Airport City.

"Justeru itu, beta menyeru agar kerajaan persekutuan dapat menyokong dan memberi pertimbangan bagi pelaksanaan pembangunan projek KXP demi manfaat menyeluruh kepada negara dan negeri Kedah khususnya," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!