UMNO tidak lagi boleh diharap, kata Muhyiddin

Muhyiddin ketika berucap dalam ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Menara PGRM pada Ahad. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Muhyiddin ketika berucap dalam ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Menara PGRM pada Ahad. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO tidak boleh lagi menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menggalas amanah bagi memperjuangkan hak orang Melayu, bumiputera dan kepentingan umat Islam, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, parti itu kini menjadi parti minoriti dalam gabungan yang didominasi oleh Pakatan Harapan (PH).

Katanya, demokrasi dalam UMNO sudah mati malah perlembagaan juga dilanggar semata-mata untuk menjaga kepentingan individu.

"Apalagi orang Melayu dan bumiputera boleh harapkan daripada UMNO. Tujuannya telah berubah, individu ini juga dilindungi pucuk pimpinan PH demi kepentingan kuasa.

"Dengan penguasaan individu ini dalam UMNO maka PH akan terus berkuasa. UMNO di bawah individu ini bukan lagi mementingkan kuasa politik Melayu tetapi alat untuk meneruskan kelangsungan kuasa PH," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Menara PGRM di sini.

Tambah Muhyiddin, inilah pengakhiran hayat UMNO tetapi jatuh bangun parti itu bukan masalah pihaknya.

"Kita bimbang masa depan Melayu dan umat Islam, semakin lama dibiarkan berkuasa srmakin banyak kerosakan yang akan dibuat dan semakin sukar untuk dibaiki.

"Mana perpaduannya, boleh nampak kerapuhan mereka berbalah di Parlimen. Kepimpinan mereka ini umpama tidur setilam dan sebantal tetapi mimpi tidak pernah sama," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!