Reman anggota polis tembak isteri disambung lima hari
KANGAR - Anggota polis berpangkat Lans Koperal yang menembak isterinya hingga maut dalam kejadian di Kampung Bendang Baru Simpang Empat, pada 5 Mac lalu disambung reman selama lima hari bermula Ahad.
Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Kangar, Siti Nor Hasliza Md Ali di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hingga 17 Mac depan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan sambungan reman ke atas anggota berusia 27 tahun yang berasal dari Terengganu itu.
Katanya, polis masih menunggu hasil laporan bedah siasat mangsa daripada pakar Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
"Suspek pula masih menjalani pemeriksaan klinikal kesihatan dan psikiatri di hospital," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Dalam kejadian 5 Mac lalu, suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disyaki membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, yang ketika itu hamil lima bulan.
Suspek melepaskan lebih lima das tembakan pada jarak dekat di mana salah satu tembakan terkena bawah mata kiri mangsa mengakibatkannya maut di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!