Pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi

Sebuah lori yang bernilai RM60,100 turut disita untuk tujuan siasatan lanjut. Minyak bersubsidi diesel yang diisi ke dalam tangki asal sebuah lori ketika ditahan.
Sebuah lori yang bernilai RM60,100 turut disita untuk tujuan siasatan lanjut. Minyak bersubsidi diesel yang diisi ke dalam tangki asal sebuah lori ketika ditahan.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pemandu lori ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi diesel di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah pada jam 7 petang Sabtu.

Sebanyak 10,000 liter minyak bersubsidi diesel, sebuah tangki fiber tambahan dan sebuah lori bernilai RM60,100 disita untuk tujuan siasatan lanjut.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam Ops Tipis yang dianggotai empat anggota setelah risikan dijalankan beberapa minggu lalu.

Menurutnya, ketika serbuan, seorang lelaki sedang mengisi minyak bersubsidi diesel ke dalam tangki asal sebuah lori.

"Hasil pemeriksaan awal yang dijalankan mendapati dua unit 'nozel dispencer' diesel telah dimasukkan ke dalam tangki asal lori untuk proses pengisian. Pemeriksaan di bahagian belakang lori yang ditutupi dengan kanvas mendapati, satu unit tangki fiber tambahan yang diubah suai.

"Tangki tambahan berkenaan disyaki mengandungi bahan api bersubsidi diesel. Selain itu, kita juga menemui satu unit pam motor dan hos di dalam lori berkenaan untuk tujuan menyedut minyak diesel dari tangki asal," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pembelian bahan api bersubsidi diesel dibayar secara tunai kepada stesen minyak oleh pemandu lori terbabit.

"Modus operandi bagi kes ini adalah dengan membeli bahan api bersubsidi diesel di beberapa buah stesen minyak dalam negeri ini dan kemudiannya dikumpul di satu tempat penyimpanan sementara sebelum dijual kepada pihak industri.

"Siasatan juga akan dilakukan terhadap pemilik stesen minyak berkenaan sama ada terlibat dan bersubahat dalam kes ini. Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961," katanya.

Tambahnya, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. KPDN ingin memberikan amaran keras terhadap mana-mana individu dan pengusaha stesen minyak di negeri ini agar mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh kementerian.

"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan dan aktiviti haram ini. Orang awam disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram tersebut dapat dibanteras sehingga ke akar umbi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!