Malaysia terus jadi transit sindiket seludup tenggiling
JERANTUT - [DIKEMAS KINI] Kedudukan strategik Malaysia menjadikan negara ini kekal menjadi pilihan sebagai lokasi transit sindiket penyeludupan hidupan liar secara haram antaranya tenggiling yang dibawa dari Indonesia.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sindiket penyeludupan didalangi warga tempatan itu menyimpan tenggiling untuk tempoh tertentu sebelum dihantar ke negara pembeli.
"Biasanya tenggiling ini dibawa dari Indonesia dan (sindiket penyeludupan) menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dihantar ke Thailand dan China.
"Begitu juga dengan haiwan lain seperti gading gajah dihantar ke Vietnam dan Thailand manakala burung jenis murai batu pula mempunyai pasaran di Indonesia," jelas beliau.
Terdahulu, Abdul Kadir bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini.
Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, sehingga awal Mac ini, sebanyak 19 kertas siasatan sudah dibuka membabitkan kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
Katanya, seramai 30 pesalah warga tempatan dan seorang warga asing ditahan dengan nilai rampasan berjumlah RM6.42 juta disita sepanjang tempoh itu.
"Sejak OBK dilancarkan pada tahun 2019, Perhilitan dengan kerjasama polis, kastam dan badan bukan kerajaan (NGO) merekodkan RM224 juta nilai rampasan dan sitaan membabitkan aktiviti penyeludupan haram," tambah beliau.
Sementara itu, Acryl Sani memaklumkan, pihaknya telah merampas 1,010 senjata api dan membatalkan lesen pemilik senjata api sejak 2020 kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan hidupan liar.
"Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan dan melalui OBK ini juga kita percaya aktiviti penyeludupan haram dapat dibanteras," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!