Dua beradik antara tiga ditahan bersama lebih 10,000 pil yaba
![Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas selepas menahan tiga lelaki di Kampung Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/03/12/2124065.jpeg)
KOTA BHARU - Dua beradik antara tiga yang ditahan polis bersama lebih 10,000 biji pil yaba dalam serbuan berasingan di Kampung Perangkap di sini Khamis lalu.
Dua beradik berusia 21 dan 24 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dicekup pada jam 10.12 malam di rumah mereka.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan di dalam bilik bahagian belakang rumah terbabit telah menjumpai satu bekas plastik yang di dalamnya terdapat tiga bungkusan.
"Bungkusan pertama mengandungi 6,000 biji pil yaba, kedua (2,000) dan ke tiga, 1,600 biji menjadikan keseluruhannya berjumlah 9,600 biji yang bernilai RM96,000.
"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Ahad.
Menurut beliau, penahanan dua beradik ini adalah susulan daripada tangkapan seorang buruh berusia 48 tahun pada hari yang sama jam 7.15 malam.
Ujarnya, semasa pemeriksaan dilakukan ke atas tubuh badan lelaki terbabit telah menjumpai di dalam poket sebelah kanan seluar pendeknya lapan peket plastik mengandungi 2,000 biji pil yaba.
Muhamad Zaki memberitahu, suspek mempunyai satu rekod lampau iaitu melibatkan kes Seksyen 15 (1)(a) 1952.
"Kesemua mereka direman selama seminggu bermula 10 Mac bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!