Jatuh bumbung ketika lari dari polis

Nik Ros Azhan
Nik Ros Azhan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki disyaki mengalami patah tulang belakang ketika cuba melarikan diri daripada polis selepas didapati memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Mertajam Indah, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek mengalami kecederaan itu selepas terjatuh dari bumbung salah sebuah rumah di perumahan terbabit.

Menurutnya, suspek yang berusia 29 tahun itu juga dipercayai mengalami patah tulang pinggul.

Tambahnya, suspek turut disahkan oleh doktor bahawa dia mengalami patah di pergelangan tangan kiri, pendarahan dalam perut dan kedua-dua kakinya tidak dapat bergerak.

"Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, polis mendapat panggilan dari seorang lelaki memaklumkan berlaku kejadian pecah rumah. Susulan itu, polis ke tempat kejadian dan ternampak suspek sedang melarikan diri dalam rumah berkenaan.

"Setelah polis memperkenalkan diri, suspek melarikan diri ke atas bumbung rumah berkenaan. Suspek enggan menyerah diri walaupun polis meminta dia berbuat demikian. Suspek yang panik telah merosakkan bumbung salah satu rumah di situ dan membaling atap bumbung ke bawah.

"Polis mengejar suspek di atas bumbung di perumahan tersebut. Ketika itu, suspek terjatuh dari bumbung rumah berkembar dua tingkat berkenaan. Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas dari suspek adalah sebuah motosikal jenis Kriss Modenas, barangan logam dan sebuah beg silang.

Artikel Berkaitan:

"Di dalam beg silang itu, terdapat tiga telefon bimbit, sehelai vest hijau, dua pisau, sebatang pemutar skru dan sebuah beg duit. Siasatan mendapati, suspek yang berasal dari Lunas, Kedah itu mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!