Mangsa kedua kanak-kanak lemas ditemui

Seorang lagi kanak-kanak ditemukan lemas dekat sebuah lombong dekat Kampung Permatang Kedundong, Pinang Tunggal pada Ahad.
Seorang lagi kanak-kanak ditemukan lemas dekat sebuah lombong dekat Kampung Permatang Kedundong, Pinang Tunggal pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lagi kanak-kanak yang hilang ditemukan lemas di sebuah lombong pasir dekat Kampung Permatang Kedundong, Pinang Tunggal pada Ahad.

Penemuan itu menjadikan dua beradik yang hilang pada Sabtu berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat.

Komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penolong Penguasa Bomba, Mohd Syukri Hashim berkata, mangsa, Muhammad Nasim Belal Hussain, 6, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam kira-kira 2.35 petang.

"Mangsa ditemukan oleh pasukan PPDA yang melakukan pencarian di bahagian dasar dan menemui mayat mangsa dengan jarak kira-kira tiga meter dari tebing lombong.

"Penemuan itu membolehkan operasi mencari dan menyelamat yang bermula pada Sabtu malam ditamatkan," katanya.

Mayat diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua beradik hilang dipercayai lemas dalam kejadian di lombong pasir berdekatan rumah mereka di Kampung Permatang Kedundong di sini pada Sabtu.

Seorang daripadanya, Mamod Shukur, 4, telah ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat yang membuat pencarian disertai orang awam pada jam lebih kurang 8.10 pagi Ahad dalam keadaan terapung kira-kira 400 meter dari tebing lombong.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak semasa musim cuti sekolah bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!