Ambil iktibar kejadian bom di Sri Lanka, kata Yadim

Nik Omar Nik Abdul Aziz
Nik Omar Nik Abdul Aziz
A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengajak seluruh rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada kejadian pengeboman di tempat ibadah di Sri Lanka pada Sabtu lepas, tentang pentingnya keharmonian dan kedamaian dikekalkan di negara ini.

Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata, perbuatan ganas melucutkan nyawa seseorang secara individu atau kumpulan khususnya orang awam yang tidak berdosa harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh umat Islam sebagaimana digariskan dalam maqasid syariah.

"Atas apa alasan sekalipun, keganasan tetap dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan," katanya.

Nik Omar berkata berkata Islam mengajarkan kepada umatnya untuk bersama-sama menjaga ketenangan, kedamaian, dan kebahagiaan hidup bermasyarakat.

"Kejadian itu melambangkan nilai kemanusiaan yang semakin pudar dan golongan berkenaan sebenarnya terpengaruh dengan fahaman ekstrem," katanya.

Sekurang-kurangnya 290 orang maut manakala lebih 500 lagi cedera dalam beberapa siri pengeboman yang menyasarkan gereja serta hotel mewah di tiga bandar di Sri Lanka pada Hari Easter.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab setakat ini.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!