Hanya 30 pendakwah selebriti ada kebenaran khas ceramah - JHEAT

M Rozi
M Rozi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tauliah atau surat pelantikan yang diberikan oleh pihak berkuasa agama kepada seseorang yang ingin menyampaikan ceramah bukan bermaksud merendahkan ilmu yang dimiliki individu terbabit, sebaliknya merupakan syarat yang perlu dipatuhi bagi setiap pekerjaan yang dilakukan.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, setakat ini, individu yang tidak mempunyai tauliah di Terengganu belum diambil sebarang tindakan dan hanya diberikan nasihat.

"Kita bukan bermaksud mempertikaikan atau menguji keilmuan seseorang individu, tetapi kita nak masing-masing memahami peraturan kerana peraturan telah menetapkan setiap pengajar yang mengajar disurau dan masjid perlu mempunyai tauliah.

"Ia bagi memastikan setiap apa yang disampaikan oleh mereka bertepatan dengan ajaran dan pegangan agama serta mengelak berlakunya aktiviti-aktiviti pengajaran agama yang bertentangan dengan syariat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita berhubung isu tauliah penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus di sini pada Ahad.

Menurut M Rozi, penceramah berkenaan setakat ini tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan mengadakan kuliah di negeri itu.

Jelas beliau, berdasarkan statistik pemegang tauliah dikeluarkan JHEAT sehingga November lalu, hanya 30 pendakwah selebriti diberikan kebenaran khas untuk menyampaikan ceramah oleh pihak berkuasa agama di Terengganu.

Difahamkan, Azhar sudah tiga kali dipanggil untuk menjalani proses temuduga pemegang tauliah oleh JHEAT.

Dalam pada itu, M Rozi berkata, tiada sebarang kuota ditetapkan untuk mereka yang ingin berceramah malah JHEAT mengalu-alukan mereka yang ingin berbuat demikian.

Bagaimanapun katanya, individu yang ingin mengajar dan mengadakan kuliah di masjid dan surau diminta mengemukakan permohonan serta menyertakan maklumat peribadi dan kelulusan akademik.

"Kita amat mengalu-alukan individu yang berkelayakan membuat permohonan untuk mendapatkan tauliah," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, secara keseluruhan seramai 1,313 individu mempunyai tauliah untuk berceramah agama, mengajar agama Islam dan mengajar al-Quran di negeri itu.

Daripada jumlah itu, seramai 773 individu mengajar agama Islam kategori berkitab, berceramah umum kategori agama (35), kategori mengajar al-Quran (292), tauliah khas mengajar agama sahaja (100) dan 83 diberi tauliah dalam kategori agama Islam berkitab, ceramah umum dan al-Quran.

Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dilaporkan berkata, semua ahli politik dan aktivis politik tidak dibenarkan menyampaikan ceramah di semua masjid dan surau di negeri itu.

Katanya, larangan itu bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.

Jelas beliau, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah menzahirkan rasa dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran daripada Maidam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!