Lebih 500kg sampah di 'Pulau Nami'
KOTA BHARU - Kurang kesedaran mengenai kebersihan oleh pengunjung Pantai Senok, Bachok menyebabkan banyak longgokan pelbagai jenis sampah di sekitar kawasan peranginan itu.
Pantai Senok atau lebih dikenali sebagai Pantai Nami popular dalam kalangan pelancong dan warga tempatan terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti umum.
Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) negeri, Penolong Pesuruhjaya Kanan Rela (PPjKR) Muhamad Aimran Hakim Abdul Alim berkata, lebih 500 kilogram sampah dikumpul anggota dan pegawai Rela dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan melalui Program Khidmat Bakti Kutip Sampah dan Riadah (Kudah) di pantai itu pada Ahad.
"Gotong-royong dengan kerjasama Majlis Daerah Bachok itu mengumpulkan sisa domestik seperti cawan, pinggan, pelbagai jenis plastik dan penyedut minuman," katanya melalui kenyataan selepas pelaksanaan gotong-royong itu.
Beliau memberitahu, aktiviti sempena Sambutan Hari Bumi 2023 yang disambut pada 22 April bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memulihara alam sekitar.
Tambah beliau, seramai 100 sukarelawan terlibat untuk mengumpul sampah di pantai itu.
"Kita mahu lebih ramai yang terlibat menjaga kebersihan di kawasan pelancongan sesuai matlamat agensi terlibat dalam menjaga dan memelihara alam sekitar," katanya.
Jelas beliau, kesemua sukarelawan memberi komitmen terbaik sepanjang gotomg-royong bagi mengindahkan lagi pantai itu.
"Kami berharap masyarakat akan lebih prihatin dengan menjaga kebersihan dan keceriaan pantai ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!