Muhyiddin akan didakwa lagi esok
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin berhubung wang dalam akaun parti Bersatu.
Berdasarkan semakan sistem e-kehakiman, kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen 1, di hadapan Hakim Rozilah Salleh pada jam 9 pagi.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam jemputan media memaklumkan, pihaknya telah mendapat izin mendakwa seorang ahli Parlimen esok di mahkamah sama.
Ahli Parlimen Pagoh itu dijangka menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu pada 10 Mac lepas.
Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!