'Presiden Bersatu, UMNO bagai langit dan bumi'
KUALA LUMPUR - Perbezaan besar antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO adalah keberanian Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertanggungjawab dan meletak jawatan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, ia tidak sama dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak pernah sesekali menawarkan diri untuk meletak jawatan sama ada dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mahupun Perhimpunan Agung UMNO (PAU)
Menurutnya, Muhyiddin sudah meletakkan jawatan pada Mesyuarat Khas Bersatu di Pejabat Pas Taman Melewar pada Sabtu, jam enam petang namun Majlis Pimpinan Tertinggi menolaknya sebulat suara.
“Tan Sri Muhyiddin masih tidak berpuas hati, sebab itu kita terus bawa usul ke Perhimpunan Agung pada hari ini (Ahad). Usul dibawa oleh Timbalan Presiden (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan semua perwakilan tolak sebulat suara.
“Beliau dah tunaikan janji tapi ditolak oleh MPT dan perwakilan mentah-mentah. Saya nak tanya Ketua Penerangan UMNO (Isham Jalil), adakah presiden kamu pernah menawarkan diri untuk letak jawatan dalam MKT atau PAU?
“Beza Presiden Bersatu dengan UMNO seperti langit dengan bumi. Presiden UMNO berdepan dengan 47 kes, tapi Tan Sri Muhyiddin hanya tujuh pertuduhan, itupun pertuduhan terpilih,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas kenyataan Isham yang mendakwa Muhyiddin ‘cakap tidak serupa bikin’ kerana masih menggalas tanggungjawab memimpin Bersatu walaupun sedang menghadapi kes di mahkamah.
Isham berkata, pemimpin-pemimpin Bersatu dahulu kerap menggesa pemimpin parti lawan meletak jawatan sekiranya menghadapi perbicaraan di mahkamah, namun gesaan sedemikian tidak pula dikenakan terhadap pemimpin sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!