Selangor kecewakan Penang di Stadium Bandaraya
PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe boleh menarik nafas lega apabila mengekalkan rekod tanpa kalah setelah menewaskan Penang FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, George Town pada Ahad.
Kejayaan itu membolehkan Gergasi Merah meraih tiga mata berharga untuk mengumpul 10 mata bagi memberi tentangan kepada pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang cemerlang melakar empat kemenangan bersih.
Pada aksi yang penuh dramatik itu menyaksikan skuad Gergasi Merah membuka tirai jaringan menerusi Ayron del Valle pada minit ke-28.
Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan berhati-hati untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas pada aksi di sebelah petang itu.
Pasukan pelawat bagaimanapun terlebih dahulu memperoleh rentak menerusi beberapa gerakan, namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan Penang FC.
Pasukan tuan rumah juga tidak melepaskan peluang untuk mengancam kubu lawan, namun buntu untuk membuka tirai jaringan.
Ketika ghairah mengasak, benteng Penang FC dihukum dengan serangan balas pantas Selangor FC menerusi larian Faisal Halim yang melorongkan bola sebelum mudah disempurnakan oleh Ayron untuk menewaskan Shafiq Afifi.
Memasuki babak kedua, jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt yang turut dibantu Manzoor Azwira mengubah corak permainan dengan membuat beberapa pertukaran pemain.
Taktikal itu ternyata menjadi apabila Rafael Vitor menyamakan kedudukan menerusi tandukan hasil sepakan percuma pada minit ke-87.
Bagaimanapun kegembiraan Penang FC meraikan gol penyamaan tidak bertahan lama apabila Selangor FC kembali di depan menerusi jaringan Noor Al-Rawabdeh pada minit-minit akhir permainan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!