Muhyiddin arah jentera parti sedia hadapi PRN

Muhyiddin ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-5 Tahun 2022 Bersatu di Menara PGRM, di sini pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Muhyiddin ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-5 Tahun 2022 Bersatu di Menara PGRM, di sini pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan semua jentera parti untuk bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Menurutnya, arahan itu termasuklah sedia ‘bertempur’ dengan ketiadaan dana dan bekerja keras bertemu pengundi.

“Saya telah mengeluarkan arahan supaya mereka bekerja keras tatkala parti kita ditindas sebegini rupa. Kita tidak mempunyai apa-apa dana. Bermakna, kalau keperluan dana itu masih ada, kita harus ikhtiarkan sendiri, cari apa yang wajar.

“Saya ingatkan ini penting dan kita jangka, inilah kesempatan dan peluang untuk rakyat menunjukkan rasa kebencian dan kemarahan mereka terhadap kerajaan hari ini yang tidak mampu menguruskan hal ehwal rakyat.

“Kita buat setakat yang mampu, tapi apa yang penting adalah jentera kena rapat dengan pengundi kerana akhirnya yang akan putuskan adalah pengundi,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-5 Tahun 2022 Bersatu di Menara PGRM, di sini pada Ahad.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungan, Muhyiddin berkata, walaupun tiada sumber dana yang boleh digunakan, tapi semangat yang ada mampu memberikan kemenangan.

Beliau turut yakin rakyat akan bangkit menentang dan ‘ajar’ kerajaan yang ada sekarang dalam PRN nanti.

“Dalam ada masalah, ada peluang. Tadi ada ramai (semasa sesi perbahasan) yang bercakap mengenai PRN. Cakap kita yakin boleh menang. Macam mana, boleh menang? (tapi) Bersatu tak ada duit.

“Bila nak pilihan raya, jangan ada ketua-ketua bahagian yang datang jumpa saya beritahu tiada duit. ‘If you have no money, i don’t have money at all. Jangan tanya saya kenapa, apa sebab kita tiada duit.

“Salah siapa? Siapa jahat? Bukan kata jahat sahaja, tapi buktikan. Walaupun kita tiada wang walau satu sen, rakyat akan bangkit dan menentang mereka dan kita boleh menang dalam PRN,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!