'Come back' Shahrizat tak menjadi, aura Noraini masih kuat

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KEMUNCULAN semula bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang menawarkan diri untuk merebut kembali jawatan dalam pemilihan parti kali ini yang dilepaskannya kira-kira lima tahun lalu agak mengejutkan ramai pihak.

Sungguh pun umum mengetahui dalam politik apa sahaja boleh berlaku, namun pengumuman mengejutkan itu menimbulkan spekulasi.

Meskipun bersaing sengit dengan pencabarnya yang juga penyandang jawatan utama sayap wanita itu, namun ternyata Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mempunyai auranya yang tersendiri.

Justeru, hasrat Shahrizat untuk membuat 'come back' tidak menjadi apabila tewas kepada Ahli Parlimen Parit Sulong itu, yang juga anak didiknya.

Beliau sebelum ini pernah menerajui Wanita UMNO selama 11 tahun selepas berundur pada tahun 2018, namun ia bukan penentu atau 'tuah' bahawa ahli-ahli akan memilih dan menyokongnya.

Kemunculan semula Shahrizat juga dikritik sesetengah pihak yang menyifatkannya sebagai tidak wajar terutama ketika parti itu sedang bergelut memulihkan kembali keyakinan rakyat.

Memetik laporan media, Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zaireeni Azmi berkata, kemunculan semula Shahrizat adalah tidak perlu.

Sebaliknya ujarnya, Wanita UMNO harus menampilkan lebih ramai pemimpin muka baharu yang berkaliber serta calon lebih muda bagi mengimbangi kehendak serta persekitaran politik masa kini.

Biarpun Shahrizat mendahului persaingan setakat jam 9.12 malam pada Sabtu iaitu 19 undi, manakala Noraini pula 16 undi.

Namun tanpa disangka bekas Menteri Pendidikan itu dapat memintas dengan 30 undi berbanding Shahrizat iaitu 22 undi dan memenangi jawatan tersebut.

Bagaimanapun Noraini berjaya mengenepikan cabaran bekas pemimpin heavyweight UMNO, Shahrizat dalam persaingan sengit itu.

Kemenangan itu hakikatnya menunjukkan majoriti akar umbi UMNO mahukan pemimpin yang bersikap 'walk the talk' dan bukan sekadar petah berbicara.

Selain kemenangan Ahli Parlimen Parit Sulong itu, Exco Kerajaan Negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh dan bekas Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dalam pemilihan ketua-ketua sayap parti UMNO kali ini, sebenarnya memberikan 1001 gambaran dan mesej kepada lebih tiga juta ahli parti keramat itu.

Dengan Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menang selesa jawatan Ketua Pemuda UMNO, Nurul Amal atau Along dipilih sebagai Ketua Puteri UMNO yang baharu, ia satu isyarat jelas perwakilan UMNO mahukan kepimpinan sayap parti diterajui bakat muda serta pemimpin progresif yang lebih komited untuk bekerja berbanding beretorik.

Bersandarkan kepada kemenangan itu, Noraini kini menjadi harapan besar kepada Wanita UMNO untuk memperkukuhkan kembali parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!