Jenazah dua beradik lemas dikebumi dalam satu liang lahad

Jenazah dua beradik lelaki (gambar kecil) yang mati lemas dalam lombong pasir, Mamod Shukur dan Muhammad Nazeri dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jawa Tikam Batu, Sungai Petani, malam Ahad. - Foto Astro AWANI
Jenazah dua beradik lelaki (gambar kecil) yang mati lemas dalam lombong pasir, Mamod Shukur dan Muhammad Nazeri dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jawa Tikam Batu, Sungai Petani, malam Ahad. - Foto Astro AWANI
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jenazah dua beradik lelaki yang mati lemas dalam lombong pasir dekat Kampung Permatang Kedundong, Pinang Tunggal, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Jawa Tikam Batu di sini sekitar jam 10 malam Ahad.

Terdahulu, jenazah Mamod Shukur Belal Hussain dan abangnya, Muhammad Nazeri dibawa dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani selepas bedah siasat selesai dijalankan.

Sebaik tiba, jenazah disolatkan di Surau Kampung Jawa dan terus dibawa ke tanah perkuburan.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan sebaik jasad dua beradik itu dimasukkan ke dalam liang lahad.

Dalam kejadian semalam, mayat pertama Mamod Shukur, 4 tahun, ditemukan pada jam 7.30 pagi manakala mayat abangnya yang berusia 6 tahun, jam 2.45 petang, kira-kira 15 meter di dasar lombong.

Dua beradik itu dipercayai pergi ke kawasan lombong itu tanpa disedari ibunya yang ketika itu sedang memasak di rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Zaidy Che Hassan, memaklumkan, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!