Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ke-7, terima wang haram RM5 juta
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, berhubung kes menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta, Januari tahun lalu.
Muhyiddin, 76, yang juga bekas Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
"Saya faham, tidak bersalah," kata Muhyiddin yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot berwarna hitam.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menerima wang itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun AmBank milik parti berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di AmBank Cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat di sini pada 7 Januari 2022.
Pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh ini dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Jumaat lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.
Turut hadir Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!