Ten Hag kritik pengadil, VAR punca United sekadar seri
ERIK ten Hag mengkritik keputusan tidak konsisten pengadil perlawanan yang melayangkan kad merah kepada Casemiro memaksa Manchester United berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 menentang Southampton pada Ahad.
Casemiro dilayangkan kad merah pada minit ke-34 di Old Trafford selepas pada mulanya dilayangkan kad kuning susulan kekasaran terhadap pemain Southampton, Carlos Alcaraz.
Pegawai VAR, Andre Marriner menasihatkan pengadil perlawanan, Anthony Taylor untuk menilai semula kesalahan pemain tengah Brazil itu menerusi ulang tayang VAR dan Taylor mengubah keputusan kepada kad merah.
Selepas bangkit daripada kekalahan memalukan 7-0 di Liverpool hujung minggu lalu dengan menewaskan Real Betis dalam Liga Europa pada Khamis, United terpaksa bekerja keras untuk mengelak kekalahan mengejut menentang pasukan tercorot, Southampton.
Pengurus United, ten Hag mengakui berang dengan keputusan layangan kad merah kepada Casemiro, yang turut diarah keluar padang ketika menentang Crystal Palace pada Februari.
"Saya rasa keputusan tidak konsisten menyebabkan pemain tidak tahu lagi polisi VAR.
"Anda dapat lihat semalam, perlawanan Leicester-Chelsea, VAR tidak digunakan untuk beberapa keputusan.
"Hari ini ia digunakan dalam dua situasi penalti, tetapi VAR tidak digunakan juga. Terutamanya rayuan kami terhadap penalti pertama, jelas sekali bola terkena tangan, jadi apakah peraturan yang sepatutnya digunakan?," katanya.
Ten Hag berkata, dia mempunyai beberapa soalan berkenaan pengadilan, terutama selepas Casemiro berdepan penggantungan empat perlawanan.
"Casemiro sudah lama beraksi di liga-liga Eropah, lebih 500 perlawanan tanpa sebarang kad merah tetapi di sini, sudah dua kali menerimanya.
"Permainannya agak keras tetapi bersih, juga dalam situasi hari ini. Sama seperti ketika menentang Crystal Palace, jadi ia boleh dipersoalkan.
"Bagi saya Casemiro pemain yang bersih. Keras tetapi bersih dan ia terbukti selepas 500 perlawanan di liga-liga utama, dia tidak pernah dibuang padang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!