Banjir: Paras air empat sungai dipantau
KEMAMAN - Polis mengawasi paras air sungai di empat kawasan di daerah ini yang menjadi penanda aras kepada keadaan banjir yang lebih buruk selepas Kemaman mulai dilanda bencana itu hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, lokasi yang dipantau itu adalah Sungai Kemaman di Kampung Teladas; Sungai Kemaman di Paya Paman; Sungai Cerul di Cerul dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik.
Beliau berkata, jika berlaku kenaikan paras air di empat lokasi itu yang ditambah dengan hujan lebat, semua penduduk di kawasan berkenaan dinasihatkan berpindah segera ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditetapkan.
"Jika tengok kepada cuaca yang mendung kita jangkakan akan turun lagi hujan dan jika hujan lebat, penduduk di kawasan rendah perlu berpindah.
"Untuk hadapi banjir ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman mempunyai kekuatan anggota seramai 427 pegawai dan anggota dengan bantuan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya ketika meninjau paras air sungai di Jambatan Teladas, di sini, petang ini.
Mohd Said berkata, pihaknya juga memiliki kekuatan aset seperti bot dan lori yang mencukupi namun kerjasama daripada penduduk untuk berpindah awal sangat penting.
Menurutnya, ibu bapa juga perlu mengawasi anak masing-masing agar tidak bermain banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Banjir mula melanda daerah ini awal pagi hari ini setelah hujan lebat turun berterusan selama beberapa jam.
Sehingga jam 12 tengah hari, seramai 247 mangsa dipindahkan ke tiga PPS iaitu di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, Tadika Kemas Batu 9 Ibok dan Balai Raya Padang Kemunting.
Kata Mohd Said, ekoran banjir, sehingga petang ini, tiga laluan ditutup iaitu Jalan Pelantoh di Kampung Tebak, Jalan Ibok (bagi laluan T13) dan laluan di Jambatan Teladas.
Bagaimanapun, jelasnya, Jambatan Teladas yang tenggelam tidak menyebabkan penduduk terputus hubungan kerana kawasan itu memiliki kemudahan jambatan baharu.
Tambahnya, polis juga meneruskan rondaan cegah jenayah termasuk di kawasan rumah yang ditinggalkan akibat dinaiki air.
"Polis tetap lakukan rondaan di kawasan-kawasan dinaiki air sama ada gunakan jalan darat atau gunakan bot untuk pastikan aktiviti jenayah dapat dikawal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!