Arteta kagum kualiti Trossard
MIKEL Arteta memuji 'kepintaran' Leandro Trossard selepas pemain Arsenal itu cemerlang mencipta bantuan untuk setiap gol dalam kemenangan 3-0 pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ke atas Fulham pada Ahad.
Skuad Arteta kembali berada di puncak liga dengan kelebihan lima mata ke atas pasukan di tempat kedua, Manchester City susulan prestasi mengagumkan Trossard sejak menandatangani kontrak dari Brighton pada Januari.
"Dia mendapat tiga assist dan boleh menjaringkan dua gol. Saya rasa dia sangat mengagumkan.
"Bukan itu sahaja, dia mengalami kecederaan tiga hari lalu yang mungkin mengambil masa seminggu atau 10 hari lagi untuk pulih.
"Tetapi, dia sanggup untuk bermain dan doktor serta kakitangan perubatan melakukan banyak kerja yang baik.
"Ia membuat perbezaan ketara dalam pasukan. Kami memerlukannya hari ini dan sumbangannya sangat hebat," katanya.
Arsenal telah memenangi lima perlawanan liga berturut-turut sejak tewas kepada City pada Februari dan kini mempunyai 11 perlawanan lagi untuk mengesahkan kejuaraan.
Gabriel Jesus turut kembali beraksi sejak menjalani pembedahan lutut berikutan kecederaan ketika bermain untuk Brazil pada kejohanan Piala Dunia lalu.
"Ia adalah satu perkara yang baik dan langkah pertama hari ini. Semalam, saya melihat matanya dan dia berkata 'saya sudah bersedia. Saya berkata 'OK!' Jadi, kami memberikan peluang kepadanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!