'Mula-mula dulu tak ada pemain nak masuk JDT'

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

PEMILIK kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui berdepan kesukaran untuk membawa pemain menyertai pasukan Harimau Selatan itu pada permulaan penubuhan pada 2013.

Tunku Ismail berkata, terdapat pemain yang tidak yakin untuk menyertai pasukan JDT selain risau akan berdepan beberapa masalah seperti tunggakan gaji pada ketika itu.

"Mula-mula dulu, tak ada orang nak masuk JDT kerana tidak ada keyakinan sebab mereka takut ini adalah hobi sementara dan selepas itu tak bayar gaji atau ada masalah pada masa akan datang.

"Jadi, susah juga nak meyakinkan pemain-pemain untuk masuk JDT pada mulanya," kata Tunku Ismail menerusi segmen Bekpes Hot di radio Hot FM pada Isnin.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut menjelaskan tidak mempunyai pasukan pemantau dalam pemilihan pemain tempatan dan ia dilakukan sendiri olehnya dalam mengenal pasti pemain yang berkualiti.

"Untuk pemilihan pemain tempatan, saya tak pernah ada pasukan pemantau. Saya sendiri yang memilih. Jadi, daripada 2013 itu memang saya tidak kenal satu pun pemain dalam Malaysia.

"Tetapi, Alhamdulillah sejak 2014, saya lebih kenal pemain dan ikuti pemain," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga turut mengakui hanya berpuas hati dengan prestasi ditampilkan JDT mulai tahun 2020 apabila pemain sudah mula mampu beradaptasi dengan falsafah pasukan.

"Tahun 2020 baru betul-betul saya berpuas hati dengan cara permainan kami yang mana kami terapkan falsafah dalam pasukan tersebut.

"Untuk adakan falsafah itu, ia bukan semata-mata falsafah sahaja. Ia memerlukan kualiti pemain yang boleh terapkan taktikal tersebut.

"Saya suka pasukan yang padat, tak suka ada 'gap' kat tengah. Sebagai contoh, kita kena agresif dalam serangan balas, tetapi kita juga kena bertahan sebagai satu unit. Itu secara asas falsafah yang kami terapkan dalam JDT," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!