Kena tangkap ketika geledah rumah
KEPALA BATAS - Seorang lelaki dicekup ketika sedang menggeledah sebuah rumah di Taman Seri Pinang, Sungai Puyu, Butterworth.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan pada Ahad lalu, jam 4 petang.
Menurutnya, suspek ditahan ketika berada di bahagian dapur sebuah rumah di taman perumahan tersebut.
"Kehadiran suspek disedari pemilik rumah berkenaan yang ternampak sebuah tangga di belakang rumahnya. Dia yang berasa curiga terus menghubungi polis. Suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun gagal.
"Hasil soal siasat, suspek mengakui terlibat lebih 10 kes pecah rumah di dua daerah iaitu SPU dan Seberang Perai Tengah (SPT). Antara kawasan tersebut adalah Sungai Puyu, Mak Mandin, Butterworth dan Bukit Mertajam. Setakat ini, hanya tujuh kes telah dikenal pasti," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek bergerak bersendirian dengan menaiki sebuah motosikal.
"Dengan saiz badan yang kecil, dia mudah memecah masuk melalui bumbung dengan memecahkan siling rumah. Dia juga berpakaian seperti pekerja membaiki penghawa dingin kononnya bagi mengaburi mata polis.
"Disebabkan dia bergerak sendirian, suspek akan mengaut apa sahaja tanpa mengira nilai barangan tersebut termasuk dua buah televisyen. Dalam kes ini, kerugian dianggarkan bernilai RM30,000," katanya.
Noorzainy berkata, antara barangan yang dirampas adalah beberapa batang sepana boleh laras, alat pemotong aluminium, beberapa buah telefon bimbit, barangan kemas dan beberapa utas jam tangan.
"Suspek tidak bekerja dan baru keluar penjara pada penghujung 2017 kerana kesalahan dadah dan pecah rumah. Bagaimanapun, dia mula aktif semula sejak tahun lalu. Dia mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod melibatkan dadah.
"Suspek direman sehingga tujuh hari sehingga 28 April ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!