KUSKOP peruntuk RM5 juta laksana program keusahawanan belia
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege) telah merancang untuk melaksanakan beberapa program keusahawanan di kalangan graduan pada tahun ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, melalui pelaksanaan program itu ia dijangka memberi manfaat kepada hampir 12,450 graduan.
“Antara program yang dirancang itu adalah Latihan Intensif dalam talian bagi Usahawan Generasi Baru (New Gen Entrepreneur Online Bootcamp) dan Program Usahawan Perantis (Student-Preneur and Biz Apprenticeship Program).
“Selain itu, Program Penempatan Latihan Kerjaya & Keusahawanan TVET (Graduate Capacity and Employability Enhancement Program), Latihan Asas Keusahawanan (ETR 101) dan Program Kembara Kerjaya (Reach Out, Awareness and Developmental Program),” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang memintanya menyatakan jaminan pihak kerajaan untuk terus membantu golongan usahawan khususnya usahawan belia dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka terutama dalam menghadapi krisis ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.
Ewon dalam masa sama turut menegaskan kementeriannya komited untuk terus membantu semua golongan usahawan termasuklah usahawan belia dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
Sementara itu, Ewon turut menjelaskan, KUSKOP menerusi agensinya juga telah menyediakan pelbagai dana khusus dan latihan keusahawanan pada tahun ini bagi membantu usahawan belia.
Sebagai contoh katanya, TEKUN Nasional telah menyediakan peruntukan khas sebanyak RM10 juta melalui Program Tekun Niaga yang dijangka akan dapat memberi manfaat kepada 1,000 orang usahawan belia.
“Selain itu, usahawan belia juga boleh memohon pembiayaan TEKUN Nasional melalui produk seperti Program Pembangunan Usahawan Siswazah (PPUS), Program Usahawan Profesional Muda Bumiputera, Program KPT-MEDAC Siswapreneur dan Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!